Kerajaan negeri Selangor menafikan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan perkara itu tidak benar sama sekali seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Tidak ada PRN mengejut di Selangor, malah tidak ada perbincangan juga,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Melawati sempena Majlis Pelancaran Program Penggantian Paip Air Lama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016 , hari ini.
Kenyataan Azmin itu sekali gus menepis laporan mendakwa pemimpin tiga parti komponen dalam Pakatan Harapan pada malam Ahad bersetuju membubarkan DUN Selangor dan Pulau Pinang.
Malah, sumber yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata Azmin turut mengarahkan perancangan belanjawan untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut pada petang semalam.
Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu mengesahkan mesyuarat pimpinan tertinggi PKR malam ini hanya akan membincangkan mengenai rayuan DAP dan bukannya mengenai PRN mengejut Selangor.
“Tidak, malam ini mesyuarat tidak ada agenda bincang PRN Selangor,” katanya.
Akhbar itu melaporkan pelbagai petanda menunjukkan Selangor berhasrat mengumumkan pembubaran DUN bersama kerajaan negeri Pulau Pinang.
Bagaimanapun, sumber dalaman memaklumkan, Amanah yang tidak berpuas hati kerana PKR masih menjalin kerjasama dengan PAS selepas pembubaran Pakatan Rakyat, meminta PKR memutuskan hubungan dengan parti Islam itu di Selangor.
Difahamkan, DAP dan PKR menerusi perbincangan pada malam kelmarin turut mencapai persetujuan awal untuk menukar empat kerusi DUN, namun permintaan satu kerusi tambahan daripada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya membantutkan perbincangan kedua-dua parti itu.
Sementara itu, seorang pemimpin DAP mengesahkan penasihat parti itu, Lim Kit Siang akan bertanding pada pilihan raya awal di Pulau Pinang.
Source:FMT
Leave a Reply