Tidak dapat dinafikan keyakinan, semangat serta keazaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada pada tahap tertinggi ketika ini, selepas mengharungi zaman kelam dan sukar sepanjang dua tahun lalu dengan pelbagai masalah politik serta pentadbiran terutama membabitkan syarikat 1MDB.
Kemenangan berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dua minggu lalu nyata mengubah segala-galanya dan ia menyuntik cita-cita Najib dengan berterus terang mahu merampas Selangor, selepas gagal pada 2013 apabila mendapat pukulan KO daripada pembangkang ketika itu yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.
Kini, Pakatan Rakyat sudah terkubur dan dengan PAS berada di luar Pakatan Harapan menyebabkan “rumah tangga” pembangkang berada dalam keadaan tidak terurus, semak, kecah dan bersepah hingga menyebabkan rakyat menyampah tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap parti politik pembangkang untuk menggantikan BN, khususnya Umno, di Putrajaya.
Najib tidak menunggu lama kerana mood “berperang” menawan Selangor sudah dibunyikan dengan kemenangan besar Umno di Sungai Besar. Kemasukan semula Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar (KPKT) adalah isyarat jelas sesuatu harus diterjemahkan pemimpin veteran Selangor itu dalam tempoh setahun akan datang.
Ini kerana Noh membuktikan selaku pengarah Jentera PRK Sungai Besar, beliau mempunyai ramuan terbaik mengembalikan semula kemenangan BN dan Umno bagi merampas semula Selangor daripada genggaman Pakatan Harapan serta PAS selepas lapan tahun kehilangan negeri termaju di Malaysia itu.
Noh akan diberikan segala-galanya daripada kerajaan persekutuan melalui KPKT bagi memastikan strategi politik berteraskan perkhidmatan dan kebajikan digunakan bagi menarik semula sokongan rakyat Selangor kepada BN.
Sesungguhnya, “padang permainan” di Selangor amat jelas berbeza berbanding negeri lain kerana keseluruhan Selangor boleh dikategorikan sebagai negeri maju dengan rakyat tidak lagi terlalu bergantung kepada wakil rakyat terutama di kawasan bandar serta separa bandar.
Bagi rakyat di kawasan ini, mereka membayar cukai dan mahukan perkhidmatan terbaik daripada lapisan ketiga kerajaan iaitu kerajaan tempatan dan di sinilah, kekuatan Pakatan Rakyat ketika itu sebelum merampas Selangor daripada BN.
Ketika itu, pembangkang menggunakan NGO menyusup melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menunjukkan betapa lemah, korup serta tidak telusnya kerajaan Selangor di bawah pemerintahan BN dan Umno.
Tidak cukup dengan itu, kakitangan kerajaan Selangor pra 2008 juga sudah muak dan menyampah dengan pentadbiran BN dan Umno yang amat besar kepala hingga seorang bekas menteri besarnya tergamak menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam.
Walaupun pelantikan Noh dipandang ringan oleh pemimpin Pakatan Harapan melalui kenyataan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, namun saranan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago supaya Noh tidak dipandang ringan, menuntut perhatian dan strategi baru daripada kerajaan Datuk Seri Azmin Ali.
Berhadapan gergasi besar Azmin
Noh diletakkan untuk mengatasi masalah perumahan awam dalam bandar dan semua mengetahui ia isu paling kritikal di Selangor termasuk Pulau Pinang, bagi rakyat kurang kemampuan selain mengatasi masalah kemiskinan bandar yang semakin meruncing akibat kenaikan kos sara hidup.
Najib sedar, Selangor di bawah Azmin yang juga antara anak didik Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah “gergasi” besar dalam kancah politik negara.
Tidak dapat dinafikan Azmin masih ada jaringan kuat dalam Umno Selangor dan bukan rahsia juga di kalangan Umno Selangor, menteri besar itu mempunyai strategi ampuh bagi mengatasi Noh.
Lihat saja percaturan politik Azmin sepanjang berkempen dalam PRK Sungai Besar, apabila beliau hanya turun tidak sampai tiga kali bagi membantu calon Pakatan Harapan selain langsung tidak menabur sebarang janji kepada pengundi Sungai Besar bagi meraih undi.
Pendekatan itu sesuatu yang amat berbeza jika dibandingkan strategi kempen Umno dan BN yang berterusan menjanjikan “bulan dan bintang” kepada pengundi Sungai Besar sekali gus mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
Dua hari selepas kemenangan besar Umno di Sungai Besar dengan semua pemimpin parti BN berterusan menghamburkan tahniah kepada Najib serta memberikan kata-kata pujian, Azmin menggugurkan bom politik dengan mengumumkan pemberian bonus kepada kakitangan awam Selangor.
Pemberian bonus sebulan setengah kepada 17,582 kakitangan awam bagi menyambut Aidilfitri membabitkan peruntukan RM45.6 juta selain kenaikan gaji dua kali bagi 2016 serta kenaikan imbuhan tetap perumahan untuk penjawat awam gred 41 ke bawah.
Pengumuman itu jelas membuat pemimpin Umno terpinga-pinga dan Azmin membuktikan bukan mudah Umno menawan semula Selangor daripada tangannya dalam PRU14 akan datang.
Sesungguhnya, pertembungan Noh-Azmin dalam tempoh setahun akan datang amat menarik untuk diperhatikan dan sudah pasti ia bukan hanya akan berlaku di Selangor saja tetapi akan melarat ke Pulau Pinang apabila Azmin akan disertai Guan Eng “membelasah” Noh dan Umno.
Sumber: FMT
Leave a Reply