Fikirlah: Sekolah Vernakular Penghalang Perpaduan Kaum? (26.10.15)

(Photo: FMT)

(Photo: FMT)

Gesaan supaya sistem persekolahan satu aliran diperkenalkan demi perpaduan telah mengundang keresahan pelbagai pihak di negara ini.

Rata-rata parti politik dan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, melahirkan kebimbangan terhadap sistem satu aliran itu yang mungkin menutup tirai bagi sekolah-sekolah vernakular di negara ini.

Isu itu nampaknya tidak reda dengan beberapa pemimpin turut menangguk di air keruh demi kepentingan politik masing-masing.

Bagaimanapun, gesaan seumpamanya selain retorik yang bermain di bibir mereka yang terbabit bukanlah satu yang baru.

Perdana Menteri merangkap Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA ke-62 pada 11 Okt lepas memberi jaminan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan dikekalkan kerana sistem pendidikan satu aliran bukan polisi BN yang berasaskan pelbagai budaya dan bangsa.

Walaupun kenyataan Najib dilihat ‘meredakan’ keadaan, namun masih ada lagi bibit-bibit kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina kerana isu perkauman masih hangat dimainkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab pada masa sekarang ini.

Tetapi benarkah sekolah satu aliran boleh menyumbang kepada perpaduan kaum di negara ini?

KEBAIKAN SJKC

Jika diteliti, golongan yang mahukan sistem pendidikan satu aliran ini sebenarnya gagal melihat keperluan bagi pendidikan yang lebih berkualiti yang mana sekolah-sekolah kebangsaan ketinggalan.

Selain itu golongan yang cuba membangkitkan sistem satu aliran ini sebenarnya masih belum ‘membuka mata’ untuk memahami sejarah dan sistem persekolahan SJKC.

Namun demikian, ramai antara masyarakat Bukan Cina juga menyedari kelebihan belajar di SJKC. Mereka memilih untuk menghantar anak mereka ke SJKC untuk mempelajari disiplin dan budaya masyarakat Cina, selain mempelajari bahasa ketiga.

Menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris ‘The Sun’, kajian menunjukkan jumlah pelajar bukan Cina di SJKC di seluruh negara berjumlah kira-kira 80,000 orang iaitu 10 peratus daripada jumlah pelajar SKJC keseluruhannya.

APA KELEBIHAN SJKC

Penjawat awam Noor Adila Ali, 30, yang menghantar dua anaknya ke SJKC berpendapat guru-guru lebih komited dalam pembelajaran murid di sekolah yang mana amalan ini kekurangan di kebanyakan sekolah kebangsaan.

“Guru di SJKC sangat mengambil berat akan proses pembelajaran murid dengan sentiasa memberikan kerja rumah yang dapat mendisiplinkan murid.

“Selain itu, guru cenderung untuk menelefon sendiri ibu bapa dengan menjelaskan perkembangan anak mereka ketika di sekolah… Perkara ini memang tidak berlaku di kebanyakan sekolah kebangsaan,” katanya.

Suri rumah Siti Suraini Mohd Awang, 34, memilih untuk menghantar kesemua tiga anaknya ke SJKC kerana disiplin yang tinggi selain kemahiran mempelajari bahasa ketiga di sekolah.

“Anak saya turut berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa Mandarin di rumah menyebabkan saya turut dapat mempelajari bahasa itu daripada mereka.

“Selain itu, proses pembelajaran dan pengajaran dalam mata pelajaran Matematik di SJKC berbeza dengan anak-anak saya seronok untuk mempelajari matematik dan dapat menguasainya dengan baik,” katanya.

Penulis yang mendapat pendidikan di SJKC selama enam tahun turut menyedari keprihatinan pihak sekolah terhadap murid-murid bukan Cina terutamanya daripada segi kepercayaan masing-masing dan proses pembelajaran.

Murid Islam turut diberi kelonggaran untuk pulang lebih awal pada hari Jumaat untuk bersolat, disediakan kelas agama serta guru lebih memberi tumpuan kepada mereka dalam mempelajari bahasa Mandarin yang bukan bahasa ibunda mereka.

Selain itu, semua murid diwajibkan membaca sifir setiap pagi sebelum kelas bermula ataupun sebelum perhimpunan sebagai mengukuhkan memori dan mengasah kemahiran dalam mata pelajaran Matematik.

PERPADUAN KAUM VS SEKOLAH VERNAKULAR

Jika dilihat daripada sudut sejarah, Laporan Fenn-Wu 1951 dan Laporan Razak 1956 telah lama mengiktiraf kewujudan sekolah vernakular dan pengamalannya di Malaysia.

Bagi memupuk semangat perpaduan kaum, masyarakat tidak seharusnya menunding jari pada sistem pendidikan vernakular semata-mata yang bermula pada awal abad ke-19 di negara ini.

Sebaliknya mentaliti masyarakat sendiri yang mengasingkan diri daripada bergaul dengan bangsa lain dalam kehidupan seharian yang harus diubah.

Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Sebagai contoh masyarakan Cina akan menggunakan bahasa Cina dalam bergaul antara mereka dan bahasa Melayu jika bergaul dengan masyarakat Melayu atau India.

Faktor kemahiran bahasa turut memainkan peranan sejauh mana pergaulan antara kaum berlaku. Sebagai contoh anggota masyarakat Cina atau India yang tidak fasih berbahasa Melayu akan mengelak daripada bergaul dengan orang Melayu.

Bergaul dengan kaum lain bukan sahaja boleh mengasah kemahiran bahasa malah membolehkan mereka saling mempelajari adat resam dan budaya masing-masing.

Sebagai contoh dalam bahasa Melayu, perkataan ‘aku’, ‘saya’ digunakan pada situasi berbeza dengan ‘saya’ digunakan untuk berkomunikasi dengan golongan lebih tua dan ‘aku’ dalam komunikasi tidak formal seperti dengan rakan-rakan.

Dalam bahasa Mandarin, Tamil ataupun Inggeris, tiada perbezaan dalam penggunaan kata-kata itu dalam pertuturan seharian menyebabkan mereka keliru dalam penggunaan antara ‘saya’ dan ‘aku’ ataupun ‘awak’ dan ‘anda’.

Selagi kita tidak memahami ataupun menyelami sesuatu perkara secara menyeluruh, persepsi negatif atau prasangka akan timbul.

Sekiranya masyarakat di Malaysia mengamalkan sikap keterbukaan dalam bergaul tanpa mengira bangsa, sudah tentu kenyataan-kenyataan berbaur perkauman atau hasutan tidak akan wujud ataupun tersebar secara umum ataupun menerusi media sosial.

Oleh itu, buanglah sikap perkauaman yang ada dalam pemikiran kita dan bukalah hati untuk menerima setiap keunikan yang ada pada semua kaum di negara ini.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: