
Malaysian International Trade and Industry Minister Mustapa Mohamed speaks during a press conference in Putrajaya on October 7, 2015. The Malaysian Picture
Putrajaya masih belum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun rundingannya dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, keputusan menandatangani perjanjian perdagangan bebas itu hanya akan diputuskan Parlimen selepas sesi perbahasan mengenainya.
“Kita hendak bawa ke Parlimen, dan dibahaskan. Kita buat keputusan di Parlimen, maknanya mengundilah,” kata Mustapa pada sidang media khas mengenai TPPA di Putrajaya petang ini.
Katanya, beliau sudah bertemu menteri bertanggungjawab mengawasi perjalanan Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi mendapatkan keutamaan membentangkan kedudukan Malaysia berkenaan TPPA pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.
“Saya sudah berunding dengan beliau dan Speaker (Dewan Rakyat). Saya hendak minggu pertama sidang untuk saya beritahu Parlimen di mana kita dengan TPPA,” katanya.
Parlimen akan bersidang bagi mesyuarat ke-3 penggal ke-3 bermula 19 Oktober sehingga 3 Disember depan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan Kabinet memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa berunding terma-terma TPPA.
Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan perlu memperhalusi keputusan mengenai TPPA sebelum menandatanganinya, sambil menambah, apa yang penting adalah mendahulukan kepentingan rakyat.
Mustapa berkata, memandangkan tumpuan sidang Parlimen kali ini ialah kepada Belanjawan 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober, beliau akan mempertimbangkan bagi memohon sidang Parlimen khas bagi membahaskan TPPA.
Mengulangi kenyataan yang dibuatnya menerusi posting Facebook semalam, beliau pada sidang media hari ini berkata teks TPPA sedang diperhalusi serta dimuktamadkan sebelum dijangka didedahkan kepada umum dalam masa 30 hari.
Katanya, dokumen muktamad untuk makluman umum itu mungkin akan hanya tersedia hujung bulan ini atau pada awal November.
Beliau berkata, sebaik saja ia menjadi dokumen awam, perjanjian itu bersama 2 dokumen analisis kos dan faedah yang dibuat Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik Malaysia (ISIS) dan perunding PriceWaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, akan dipersembahkan kepada Kabinet dan Parlimen.
Mustapa dalam satu kenyataan semalam berkata TPPA yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju mempertimbangkan hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia termasuk pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.
Katanya, butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.
Beliau turut memberi jaminan keputusan sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif. – 7 Oktober, 2015.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/meterai-tppa-atau-tidak-terpulang-pada-parlimen-kata-mustapa#sthash.x3PCD93z.dpuf
Leave a Reply