
Former director-general of the Research, Treaties and International Law Department, Noor Farida Ariffin, speaks during the Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) 5th anniversary along with commemoration of first Malaysian prime minister Tunku Abdul Rahman Putra at its his memorial in Kuala Lumpur on February 7, 2015. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli
Guru dan pentadbir sekolah yang mengamalkan sikap perkauman semasa sesi persekolahan atau aktiviti pelajar perlu dihukum, kata kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25), sebagai salah satu usaha memupuk perpaduan dan mengelakkan insiden seperti di Plaza Low Yat berulang.
G25 berkata, guru dan pentadbir sekolah berpengaruh besar membentuk sikap pelajar terhadap isu perkauman, kemampuan pelajar dalam pembangunan budaya dan kesopanan.
“Disebabkan itu, amat penting supaya guru bertanggungjawab terhadap kelakuan mereka sendiri dalam aspek pembangunan pelajar.
“Guru besar berperanan penting dalam membangunkan budaya keharmonian kaum dan toleransi agama dengan meningkatkan kesefahaman antara budaya dan kaum di sekolah,” kata jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin dalam satu kenyataan malam tadi.
Farida berkata, satu sistem insentif sesuai boleh membantu menggalakkan suasana yang mempromosikan keharmonian kaum sejak awal usia di kalangan pelajar.
Merujuk kepada insiden di Plaza Low Yat dan baru-baru ini dan di Berjaya Times Square, G25 berkata ia merupakan kesan daripada masalah sosial dan ekonomi yang serius, termasuk jurang perbezaan antara kelas pertengahan kaya dan miskin bandar ekoran beban kos hidup yang meningkat.
Katanya, kadar pengangguran golongan muda termasuk graduan meningkat dengan majoritinya daripada masyarakat Melayu.
“Dengan keadaan yang terdesak, diabaikan dan kekecewaan membawa kepada budaya mat rempit, kegelisahan dan keganasan, ditambah dengan keghairahan untuk memanipulasi oleh unsur yang tidak diingini menggunakan media sosial,” kata G25.
Menurut Farida, perkhidmatan awam dan institusi kerajaan lain bersikap perkauman juga tidak boleh diterima, terutamanya yang dilihat di kaunter perkhidmatan jabatan kerajaan.
“Sikap ini boleh dilihat di kaunter perkhidmatan jabatan kerajaan oleh golongan birokrasi yang melampau dan bertopengkan Islam, perlu diperbetulkan dengan amalan baru yang menggalakkan sikap menghormati perbezaan kaum,” katanya.
Katanya, menjadi masalah serius jika perkhidmatan yang ditadbir kerajaan membiarkan unsur perkauman dengan memberi keutamaan kepada kaum tertentu berdasarkan penilaian peribadi pegawai sektor awam.
G25 turut mencadangkan supaya perkataan yang menghina kepelbagaian kaum seperti “pendatang” dan “pariah” diharamkan sebagai langkah awal menggalakkan rakyat Malaysia menghayati semangat Rukun Negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.
Sementara itu, G25 dalam responsnya terhadap laporan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) mengulangi cadangannya supaya membubarkan Biro Tata Negara (BTN) dan menggantikannya dengan Khidmat Tindakan Masyarakat Awam.
Katanya, aktiviti kokurikulum itu perlu diwajibkan di peringkat sekolah menengah mengikut tempoh jam dan dijadikan syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – 24 Julai, 2015.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hukum-guru-pentadbir-sekolah-bersifat-perkauman-kata-g25#sthash.LE7GKFC6.dpuf
Leave a Reply