
Kawasan rekreasi Bukit Kiara kini dirampas pemaju hartanah dan pagar dilihat mengelilingi seluruh taman itu. – Gambar ihsan Friends of Bukit Kiara. – See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bukit-kiara-kawasan-hijau-terakhir-di-kl-diancam-kemusnahan#sthash.FUcMseMZ.dpuf
Sembilan tahun selepas Bukit Kiara, salah satu kawasan rekreasi untuk berjalan kaki dan berbasikal paling popular di Kuala Lumpur, dijanjikan akan dijadikan sebuah taman awam “persekutuan”, tiada apa perubahan setakat ini.
Sebaliknya, tanah itu kini dirampas pemaju hartanah dan pagar kelabu tinggi dilihat mengelilingi seluruh taman itu. Terdapat beberapa pemaju yang terlibat, setiap satunya mengerjakan tanah persendirian.
Sekiranya janji yang tersebut itu dilaksanakan, Bukit Kiara akan menjadi taman seperti Hyde Park di London, yang akan dibangunkan dan diuruskan Jabatan Landskap Negara (JLN).
Kabinet mengumumkan perkara itu pada 5 Julai 2006, dan JLN ditugaskan sebagai pengurusan dan penyelia taman pada Ogos 2010, selepas kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tetapi, jauh daripada menjadi syurga yang hijau dan damai, Bukit Kiara hari ini satu lokasi kemusnahan, dikepung pagar pihak pemaju yang memisahkan antara kawasan awam dan persendirian.
Taman ini sedang dijarah jentolak yang tidak henti-henti bekerja dan pemaju yang tergesa-gesa membina satu lagi wilayah mewah.
Penduduk terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas dari Taman Tun Dr Ismail ke Mont Kiara, dan debu dari pembinaan landasan Mass Rail Transit (MRT). Kawasan tinjau yang popular itu sekarang menghadap sebuah bangunan yang sedang dibina. Ia kini terasa lebih kecil.
Apa yang pernah menjadi syurga keluarga yang gemar berekreasi, pantas menjadi satu lagi mangsa ketamakan korporat.
Kebisuan yang memekakkan
Bukit Kiara merupakan hutan sekunder yang merangkumi kawasan seluas 466.86 ekar dan dikelilingi perumahan dan hartanah komersial seperti Taman Tun Dr Ismail, Seri Hartamas, Lebuhraya Sprint dan popular di kalangan pencinta alam, peminat sukan seperti pelumba basikal, pelari dan pejalan kaki.
Kira-kira 4,000 orang mengunjungi taman itu pada hujung minggu, terdiri daripada penduduk tempatan dan ekspatriat. Ia juga mempunyai anak sungai kelas Aras 1: mengandungi air yang selamat untuk diminum.
Dahulunya sebuah ladang getah, taman itu mempunyai pokok getah yang ditoreh kira-kira 30 penoreh, pohon seduduk yang digunakan Orang Asli untuk menyembuhkan luka dan melecur, serta haiwan kecil seperti burung, ular, tupai dan monyet. Pendek kata, ia syurga alam semula jadi untuk warga kota.
Penduduk di pinggir bandar sekitarnya yang sering ke taman itu, juga pencinta alam sekitar, ingin supaya Bukit Kiara kekal tidak disentuh.
Penduduk pro-aktif gigih memperjuangkannya tetapi terpaksa berdepan dengan blok yang dibenarkan agensi kerajaan seperti DBKL, serta birokrasi dan sikap acuh tak acuh.
Penduduk mencuba selama bertahun-tahun menyampaikan suara mereka kepada kerajaan persekutuan, DBKL dan JLN mengenai zon penampan, tetapi tidak berhasil. JLN berkata, ia di luar bidang kuasa mereka.
Terdapat tiga program “Jalanan Selamatkan Bukit Kiara” dan sebuah petisyen yang menerima lebih 10,000 tandatangan diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri. Mereka turut bercakap dengan ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng agar membangkitkan isu itu di Parlimen, tetapi semuanya setakat ini tidak berhasil.
DBKL juga tidak memberi respons kepada percubaan The Malaysian Insider menghubungi mereka.
Terlalu ramai pihak terlibat
Laporan mengenai Bukit Kiara sebelum ini menonjolkan kepentingan politik dan korporat yang menyebabkan kemerosotan taman itu.
Melaporkan kemelut yang berlarutan pada 2013, The Edge mendedahkan minat yang mendalam Berjaya Corp Bhd terhadap tanah di dalam pusat ekuestrian itu bagi membina sebuah kondominium yang “mesra eko”, hospital “mesra eko” dan sebuah arena.
Ia ketika ini disekat DBKL kerana tanah mereka diwartakan sebagai “ruang hijau terbuka”.
“Tiada siapa mengatakan kertas kerja boleh disiapkan dalam masa seminggu. Tetapi, warta Kabinet yang asal dibuat pada Jun 2007. Tidakkah ia agak tidak masuk akal?
“Perkataan tadbir urus disebut di sana sini. Kami diberitahu, Pelan Induk KL di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Apabila kebodohan seperti ini dijadikan ikutan, sukar bagi rakyat biasa menerimanya selain menganggapnya pakatan sulit oleh mereka yang berkuasa,” kata seorang pemerhati yang enggan namanya disiarkan, tetapi selama ini mengikuti perkembangan di taman itu.
Menurut blog kassimhijau, Berjaya sudah mula meratakan kawasan di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara itu.
“Mereka sudah mula secara dramatik meningkatkan yuran untuk ahli pusat ekuestrian itu, dan cuba menghapuskan sebarang bentuk perbezaan pendapat atau kesedaran yang diusahakan ahli.”
Seni Nusantara Sdn Bhd mula membina seakan-akan sebuah rumah besar di sebelah timur Kiara, menghadap Desa Sri Hartamas.
Dua pemaju lain yang terlibat dalam pembangunan Kiara ialah Impiana Land and Development Sdn Bhd dan Qiana Development Sdn Bhd.
Bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Profesor Dr Maketab Mohamed berkata: “Masalah utamanya ialah terdapat begitu banyak ‘pemain’ atau pihak yang berkepentingan di lokasi itu – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan jabatannya sendiri, JLN dan Kementerian Wilayah Persekutuan, dengan DBKLnya.
“Dan, ada kumpulan penduduk yang membantah pembangunan itu.”
Mimpi ngeri ekologi
Dengan pemaju yang makin membuatkan kehadiran mereka dirasai, penduduk berdekatan Bukit Kiara boleh menjangkakan akan merasai kesan sosiologi yang signifikan.
Sebuah blog giat membangkitkan mengenai kemusnahan di Bukit Kiara itu. Kassimhijau berkata: “Di sebelah timur menghadapi Desa Sri Hartamas, syarikat pemaju Kiara View mula membina sebuah rumah yang nampak pelik di kaki kawasan yang dikenali ramai sebagai ‘Anjung Tinjau’.”
“Jika anda melihat pelan di laman web mereka, anda akan dapati sebuah bangunan baru yang digambarkan mempunyai pembangunan yang lebih hebat, dengan pemandangan pusat bandar KL, sesuatu yang begitu serupa dengan sudut pandangan di sempadan pagar Kiara dan di mana mereka yang kerap mengunjungi Kiara sering akan berehat seketika menarik nafas sambil meninjau pemandangan menarik Menara Berkembar Petronas dan Menara KL,” kata Kassimhijau.
Pemerhati dan penyokong pemuliharaan eko berkata, banyak kemusnahan sedang berlaku di kawasan itu tanpa permit.
Kassimhijau berkata: “Mereka memusnahkan lingkungan besar yang dahulunya satu rangkaian suci laluan yang digunakan oleh orang kampung, pelari, jurugambar hidupan liar dan pendaki gunung.
“Jentolak masuk dari Penchala dengan cara yang tidak diketahui orang. Tiada papan tanda yang menunjukkan kerja pembangunan sedang dalam kemajuan dan sebuah trek jentolak yang menaiki curam yang cerun, menuju ke arah timur melalui pokok-pokok sehingga ia sampai ke lembah itu dari sudut yang lain.
“Jentolak itu tidak berhenti di situ. Ia bergerak ke hadapan mengikuti jejak yang sama digunakan peminat aktiviti luar selama beberapa dekad, berakhir sebelum rumah kampung kecil di bawah Kiaramas Ayuria.
“Sekali lagi, satu lagi anak sungai yang suci kini melalui pemusnahan kekal, lebih banyak pokok tumbang, dan ini hanya sebahagian kecil sahaja dari kawasan ini. Akhirnya didapati, 115 lot banglo akan dibina di kawasan ini.”
Bukit Kiara terletak di kawasan perdana dan kemusnahannya teratur dan taktikal.
Bagi penduduk dan pencinta alam semula jadi, kawasan hijau terakhir di bandaraya ini tidak lama lagi akan menjadi satu memori yang terpinggir jauh. – 19 Julai, 2015.
English Version: Bukit Kiara, last green lung in KL under threat
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bukit-kiara-kawasan-hijau-terakhir-di-kl-diancam-kemusnahan#sthash.FUcMseMZ.dpuf
Leave a Reply