Kerajaan Boleh Ambil Alih Bekalan Jika Isu Air Selangor Ganggu Kebajikan Rakyat (17.6.15)

Langat 2 Kementerian Sains
Kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya penstrukturan semula industri air di Selangor tidak dapat diselesaikan sehingga mengganggu kebajikan rakyat dan kegiatan ekonomi di negeri itu.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagaimanapun berkata ia merupakan pilihan terakhir kerana kerajaan komited untuk menyelesaikan permasalahan tersebut menggunakan pendekatan diplomasi agar keyakinan pihak swasta tidak terjejas.

“Atas dasar kepentingan negara, kerajaan Persekutuan boleh mengambil pendekatan itu mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“(Tapi) kami masih sedia berdiplomasi. Kalau gagal, kita boleh pakai Seksyen 114…(jika gagal juga) Saya boleh isytihar darurat dan kemudian tentera masuk. Anda ingin buat begitu? Tidak. Kita mahu elakkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang berhubung isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor dan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) yang sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.

Usul itu dikemukakan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Berdasar itu, Ongkili menggesa kerajaan Selangor untuk meneruskan kerjasama bagi menjayakan penstrukturan dan pelaksanaan projek LRAL2 seperti yang telah dipersetujukan kepimpinan negeri sebelum ini.

Ongkili berkata kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan bekalan air di Lembah Klang sentiasa terjamin dan berterusan.

“Komitmen ini telah diterjemahkan dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani dan juga bajet sebanyak hampir RM1 bilion untuk melaksanakan projek-projek mitigasi bagi menangani kekurangan air sementara menunggu siapnya Projek LRAL2,” katanya.

Mengulas lanjut, Maximus berkata kelewatan pelaksanaan projek LRAL2 telah menyebabkan kedudukan bekalan air di Lembah Klang bertambah ‘kritikal’ dengan kedudukan rizab bekalan air secara puratanya di bawah dua peratus.

Katanya rizab bekalan air pada 6 Jun lepas, turun sehingga paras 0.46 peratus.

Rizab bekalan air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dapat ditingkatkan ke paras 13 peratus dengan penambahan sebanyak 1,130 juta liter sehari melalui projek LRAL2, katanya.

Selain itu, Maximus berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menangguhkan sebarang kelulusan permohonan projek pembangunan baharu sehingga projek LRAL2 beroperasi.

Katanya sehingga April lepas, sebanyak 593 permohonan pelbagai jenis projek pembangunan baharu telah ditangguhkan oleh SPAN.

Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menyelar tindakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak hadir ketika usul itu dibahas di Dewan Rakyat.

“Difahamkan beliau berada di Kuala Krai, Kelantan serah kunci rumah banjir, sedangkan anggota Parlimen Kuala Krai kita lihat ada di Dewan Rakyat untuk dengar masalah air,” katanya.

Katanya, tindakan Mohamed Azmin itu jelas menunjukkan masalah air di Selangor yang dihadapi rakyat bukan menjadi kepentingan Menteri Besar Selangor itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: