(18 Mei 2015) Parti Gerakan Selangor hari ini mempertikaikan kecekapan Kerajaan Selangor, terutamanya dalam siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP–ABAS) terhadap Yayasan Selangor di mana sehingga kini masih belum ada sebarang hasil siasatan diumumkan.
Pengerusi Parti Gerakan Selangor David Ang Chin Tat berkata, Laporan Audit Negara 2014 yang diumumkan pada April 2015 lalu melaporkan terdapatnya kelemahan pengurusan kewangan Yayasan Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di mana kedua-dua agensi Kerajaan Selangor ini berkemungkinan mengakibatkan kerugian sejumbah RM51.76 juta. Dalam kes Yayasan Selangor, kerugian yang dicatatkan adalah sebanyak RM 15.12 juta disebabkan penangguhan projek pembangunan semula bangunannya di Bukit Bintang selama 3 tahun.
Beliau merasa hairan mengapa kedua-dua agensi ini tidak termasuk dalam senarai siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Selangor walaupun jumlah wang yang terlibat begitu besar. Pada April 2015, PAC mengumumkan 7 perkara melibatkan agensi-agensi Kerajaan Selangor akan disiasat bermula Mei hingga Julai 2015.
“Adakah jumlah wang terlibat sebanyak RM51.76juta ini tidak sehebat berbanding dengan kes-kes yang tersenarai untuk disiasat seperti skim pinjaman dan biasiswa Selangor?” katanya.
Prosidur siasatan menghairankan
“Kes Yayasan Selangor, walaupun disebut oleh PAC pada April lalu, dialihkan kepada JP-ABAS untuk disiasat.Manakala LPHS pula langsung tidak disebutkan sama sekali oleh PAC.”
“Prosidur ini menghairankan sebab ia sepatutnya tertakluk dalam skop PAC memandangkan tugas utama PAC adalah untuk ‘menyemak dan meneliti Laporan Audit Negara dan takbir urus Negeri Selangor’”.
Mengikut kata pemangku pengerusi PAC Ng Suee Lim pada bulan lalu, buat masa kini PAC tidak perlu campurtangan sebab JP-ABAS masih berupaya menguruskannya dengan berkesan. PAC cuma akan siasat bersama JP-ABAS “apabila perlu”.
David Ang bertanya, “Sejak Laporan Audit Negara dikeluarkan kes Yayasan Selangor terus menjadi tumpuan perbincangan orang ramai. Apakah sampai tahap begini pun masih dianggap tidak perlu bagi PAC mencampurtangan?”
“Andaikata JP-ABAS yang bertanggungjawab. Tetapi sudah satu bulan berlalu sejak buka fail untuk siasat, nampaknya tidak ada sebarang perkembangan dari segi siasatan.”
Beliau berkata, sebenarnya Penyata PAC (Kertas Bil:10/20) jelas mencatatkan bahawa pada Ogos 2013 PAC pernah berbincang dan menangani isu tunggakan bayaran Yayasan Selangor kepada Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS).
“Ini terbukti campurtangan PAC sejak 2013 lagi. Sepatutnya PAC harus terus membuat ‘follow-up’, bukannya mengalihkan tugas kepada JP-ABAS.”
Menurut Laporan Audit Negara 2014 Siri Pertama, selain dari kerugian sebanyak RM15.12juta akibat penangguhan projek pembangunan semula selama 3 tahun, Yayasan Selangor juga dibebani tunggakan sewaan sebanyak RM10.35juta, menjadikan jumlah yang dipertikaikan berjumlah RM25.47juta.
“70% pendapatan Yayasan Selangor adalah terdiri dari kutipan sewaan bangunan, jadi sebarang kekurangan kutipan sudah pasti akan secara langsung menjejaskan yayasan itu merealisasikan visinya iaitu membiayai pendidikan untuk anak Selangor.”
LPHS harus disiasat juga
Selain dari itu, Parti Gerakan Selangor juga mendesak supaya LPHS disenaraikan untuk disiasat memandangkan tunggakan agensi tersebut kepada Kerajaan Selangor bukan sahaja boleh dipertikaikan, bahkan melibatkan jumlah wang yang besar iaitu sebanyak RM26.29 juta.
Menurut Laporan Audit Negara 2014, LPHS selaku egen kutipan baki ansuran sewabeli Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), masih terhutang kepada Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) sebanyak RM44.62 juta pada hal rekod PNS mencatatkan jumlahnya adalah RM57.96 juta. Perbezaan berjumlah RM13.34 juta ini masih belum diselaraskan walaupun sudah lama tertangguh.
“Malah, kutipan LPHS dalam tahun 2013 dan 2014 (Jan-Ogos) berjumlah RM12.95 juta juga belum dibayar balik kepada PNS”, kata David Ang.
Keseluruhannya, jumlah yang melibatkan LPHS berjumlah RM26.29 juta.
“KPI kutipan tahunan LPHS adalah sebanyak RM10.16 juta, malangnya ia tidak pernah tercapai sejak 2009. Ini bukan sahaja akan menjejaskan pembangunan rumah kos rendah dalam negeri, malah melambatkan Kerajaan Selangor membayar balik hutang kepada Kerajaan Persekutuan.”
Pada tahun 1980, Kerajaan Selangor telah mendapatkan pinjaman sebanyak RM185.99 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai PAKR, dengan syarat bayaran balik sebanyak RM10.63 setahun dalam tempoh 2003-2028.
Leave a Reply